KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mahukan koperasi memperluaskan penggunaan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dalam industri pertanian dan perladangan.
Timbalan Presidennya, Prof. Madya Datuk Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, koperasi seharusnya menggalakkan ahlinya melibatkan diri dalam industri pertanian dan perladangan sebagai langkah membantu meningkatkan kos sara hidup.
“Ahli koperasi perlu dilatih agar mereka berminat menjalankan sektor agroekonomi terutama melibatkan pertanian dan perladangan.
“Koperasi pula akan menjadi sebuah pusat pengumpul atau pemasaran terhadap hasil pertanian dan perladangan yang diusahakan oleh ahli koperasi sendiri,” katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad di ibu negara hari ini.
Tambahnya lagi, penggunaan teknologi baharu ini dapat mengurangkan pengambilan tenaga kerja asing.
“Dengan penggunaan teknologi IR 4.0, kita dapat kurangkan isu pekerja ladang atau pertanian yang selalunya dilakukan oleh pekerja asing.
“Dengan penggunaan teknologi IR 4.0, kita hanya perlu ‘monitor’ (pantau) status tempat tanaman atau ladang yang diusahakan dari jauh sahaja, tak perlu guna tenaga kerja ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Nammavargal, Datuk Vyran T.Raj memaklumkan antara sasaran utama pihaknya menggunakan teknologi IR 4.0 adalah untuk menarik minat golongan belia menceburi bidang pertanian dan perladangan moden.
“Sekarang ini ramai orang muda tak minat kerja ladang, kerja kebun sebab mereka kata terlalu penat sebab guna sistem operasi kaedah lama.
“Dengan adanya IR 4.0, kita dapat tarik minat golongan belia ini sertai industri pertanian dan perladangan yang merupakan industri penghasilan sumber makanan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE