SERDANG – Dua beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori sampah di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur keluar Hospital Serdang, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Hazarul Arifin Ramli, 49, mengalami cedera ringan manakala anaknya, Hadirah, 23, patah kaki kanan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 6.43 pagi.
“Seramai 10 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama anak perempuannya telah merempuh bahagian belakang sebuah lori sampah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan anaknya tersepit di bahagian penumpang (sebelah kanan) dan patah kaki kanan, manakala bapanya hanya cedera ringan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pihak petugas dan kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE