fbpx

11 lagi mangsa tipu kerja di Kemboja pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN Abdullah menyantuni sebahagian warga Malaysia yang menjadi mangsa skim penipuan di depoh tahanan imigresen Kemboja minggu lalu. - Ihsan Wisma Putra

PUTRAJAYA- Selepas kejayaan penghantaran pulang 24 orang mangsa sindiket skim penipuan pekerjaan di Kemboja pada minggu lalu, semalam 11 orang lagi warganegara Malaysia selamat kembali ke tanah air.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kumpulan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada lewat malam tadi.

“Kementerian Luar ingin memaklumkan bahawa kesemua mereka balik dengan menaiki pesawat Air Asia penerbangan AK 535 yang mendarat pukul 11.55 malam semalam,” katanya di sini tadi.

Pada 9 September lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengiringi kepulangan 24 individu tersebut dari Phnom Penh setelah terkandas di negara berkenaan.

Beliau bersama Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim turut berpeluang menyantuni mereka yang ditahan di depoh imigresen di ibu negara tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra menambah, setakat ini seramai 123 orang daripada 153 mangsa terbabit telah berjaya diselamatkan dan segera dibawa pulang secara berperingkat.

“Pihak kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja atas kerjasama baik dalam misi mengesan serta menyelamatkan mangsa,” katanya.

Kosmo! difahamkan, berita kepulangan kumpulan 11 orang itu perlu dirahsiakan dan tiba hampir tengah malam bagi mengelak mangsa tersebut diganggu pihak tidak berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard yang ditetapkan, mereka dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran dibimbangi boleh menjejaskan siasatan perisikan oleh pihak polis.

Wisma Putra juga memberi jaminan bahawa pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sentiasa komited dan bekerjasama rapat dengan Kemboja.

“Sekiranya ada individu atau waris yang terlibat dalam sindiket ini, mereka boleh berhubung terus kepada Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia Luar Negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI