LANGKAWI – Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM141,058 dalam tiga serbuan berasingan di penempatan Bukit Malut di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek wanita berusia 53 tahun yang merupakan penganggur ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Bukit Malut pada pukul 11 malam.
“Hasil pemeriksaan menemui satu beg pinggang berzip berwarna merah jambu di atas lantai ruang tamu rumah tidak jauh dari tempat suspek ditahan.
“Beg tersebut didapati mengandungi 28 keratan tiub straw berisi bahan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat 3.96 gram (g),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini hari ini.
Kata beliau, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan di Jalan Kolam Udang, Bukit Malut pada pukul 1 pagi tadi.
“Pemeriksaan fizikal mendapati dia memegang satu bekas plastik lut sinar berisi 13 keratan tiub straw berisi serbuk atau ketulan putih disyaki heroin dengan anggaran berat 2.71g,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya turut menahan seorang lagi wanita berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Malut pada pukul 2.30 pagi tadi.
“Pemeriksaan ke atas beg pinggang yang dipegang suspek menemui empat peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 36.29 g dan empat plastik lut sinar berisi bahan kristal dipercayai syabu seberat 14.42 g.
“Suspek kemudian dibawa ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Mengkuang dan menemui lapan peket plastik lut sinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 3.6249 kilogram di dalam sebuah tong cat,” jelasnya.
Tambahnya, semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan didapati positif methamphetamine.- KOSMO! ONLINE