PETALING JAYA – “Terima kasih sayang kerana menjadi cahaya, tulang belakang, penasihat dan pelindung kepada saya.”
Romantis dan indah. Demikian dedikasi pelakon dan usahawan terkenal Fazura dalam menzahirkan kesyukuran dikurniakan seorang suami bernama Fattah Amin yang sentiasa ada bersamanya pada waktu susah dan senang.
Penghargaan tersebut dititipkan pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin sempena ulang tahun kelahiran suami tercinta ke-32 semalam.
Menurut pelakon filem Gol & Gincu itu, dia bertuah dan kerana Fattah tidak pernah putus memberi sokongan sepanjang mereka bergelar suami isteri.
“Kepada cinta hati, awak perlu tahu bahawa awak sangat berharga.
“Terima kasih sayang kerana menjadi cahaya, tulang belakang, penasihat dan pelindung kepada saya,” katanya.
Aktres berusia 39 tahun itu juga mengakui sangat bersyukur kerana menjadi isteri kepada Fattah.
“Saya sangat bertuah setiap hari kerana Allah SWT memilih awak sebagai suami dan ayah kepada anak kita, Nur Fatima Aisya.
“Semoga Allah sentiasa melindungi, merahmati, memberi petunjuk dan hidayah kepada awak di dunia serta akhirat,” ujarnya.
Ucapan romantis tersebut seterusnya mencairkan banyak hati netizen apabila dihujani ratusan komen yang masing-masing mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka.
Terdahulu, pasangan popular tersebut mula rapat selepas membintangi drama Hero Seorang Cinderella sekitar tahun 2018.
Mereka kemudiannya mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Fatima yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE