SEBERANG PERAI – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui talian penghantaran keempat bernilai lebih RM500 juta yang bakal siap sepenuhnya pada 2024.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyambungan terus bekalan elektrik ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas monopole 275kV sepanjang 8.5 kilometer bakal menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light akan dibina selari dengan jambatan Pulau Pinang.
Menurutnya, projek terbabit akan menjadi mercu tanda ikonik kerana enam daripada 31 buah menara talian bakal menggunakan reka bentuk buah pinang malah akan dibina di tengah-tengah jajaran jambatan Pulau Pinang.
“Kapasiti bekalan sedia ada di pulau ini adalah sebanyak 1,130 megawat (MW) dan bakal menurun ke tahap lingkungan 800MW apabila SJ Gelugor menamatkan kontrak perkhidmatannya pada bulan Ogos 2024.
“Dalam masa yang sama, permintaan dijangka meningkat pada masa hadapan berdasarkan permintaan beban puncak yang pernah mencecah hingga 777.85 MW yang direkodkan pada bulan Januari 2020.
“Justeru, amat tepat sekali pelaksanaan projek talian atas ini yang berkapasiti lebih tinggi berbanding dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang, di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Projek tersebut mampu menghantar bekalan sebanyak 2,000MW daripada SJ Perai ke PMU The Light bergantung kepada permintaan beban di kawasan pulau katanya.
Sementara itu, Kon Yeow memberitahu, kejayaan projek terbabit sudah tentunya merancakkan lagi pembangunan negeri ini selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.
“Kita boleh merancang dengan teliti dan meyusun strategi untuk projek-projek gergasi namun ia tidak boleh dicapai tanpa bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE