fbpx

Suspek kes bunuh 2 kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang dipercayai ibu kepada dua mangsa tersebut menutup kepalanya menggunakan kot berwarna coklat ketika ditahan di Ulsan hari ini. - AFP

SEOUL – Polis Korea Selatan menyatakan bahawa ia telah menahan seorang wanita yang dituduh membunuh dua anaknya, di mana mayat kedua-dua mangsa ditemui di dalam beg pakaian di New Zealand bulan lalu.

Suspek berusia 42 tahun itu dilaporkan wanita kelahiran Korea Selatan dan memiliki kerakyatan New Zealand. Dia diberkas di bandar Ulsan serta akan dibawa ke Seoul untuk menghadapi prosiding ekstradisi, kata polis.

“Polis menahan suspek di sebuah apartmen di Ulsan pada Khamis (hari ini) selepas mengesan lokasinya menggunakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Suspek dituduh oleh polis New Zealand sebagai membunuh dua anaknya yang berusia tujuh dan 10 tahun ketika itu, dalam kejadian sekitar tahun 2018 di Auckland.

“Dia didapati tiba di Korea Selatan selepas melakukan jenayah tersebut dan bersembunyi sejak itu,” kata Agensi Polis Negara Korea Selatan dalam satu kenyataan. 

Beberapa imej disiarkan media tempatan menunjukkan suspek, yang identitinya tidak didedahkan polis Korea Selatan dan New Zealand, dibawa keluar dari balai polis Ulsan oleh pegawai penyiasat. Dia menutup kepalanya menggunakan kot berwarna coklat.

Dia turut ditanya oleh pemberita sama ada akan mengaku melakukan pembunuhan tersebut.

“Saya tidak melakukannya,” katanya berulang kali ketika diarah masuk ke dalam kenderaan polis.

Menurut agensi berita Yonhap, suspek mula tinggal di apartmen milik kenalannya di Ulsan tahun ini, selepas menetap di Seoul sebelum itu.

“Polis akan memindahkan suspek ke Pejabat Pendakwa Daerah Pusat Seoul sebagai persiapan bagi pemeriksaan ekstradisi oleh Mahkamah Tinggi Seoul,” lapor Yonhap. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI