MANCHESTER – Pemain bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dijangka terus berada dalam kesebelasan utama menjelang aksi Kumpulan E Liga Europa menentang Sheriff Tiraspol awal pagi esok.
The Red Devils pastinya menggalas misi penting untuk melakar kebangkitan dengan menewaskan kelab Moldova itu selepas kalah 0-1 kepada Real Sociedad pada perlawanan pertama di Old Trafford minggu lalu.
Ronaldo juga berada dalam kesebelasan utama ketika melayan kunjungan Sociedad, namun kehadiran legenda Real Madrid itu belum cukup untuk memastikan United meraih tiga mata dalam aksi sulung.
“Sudah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan pada minggu ini. Perasaan yang cukup menakjubkan bagi melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan penting,” kata Ronaldo menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Pemain antarabangsa Portugal itu sebelum ini dikatakan tidak lagi menjadi pilihan utama pengurus, Erik Ten Hag di bahagian serangan selepas dia secara terbuka mahu meninggalkan United.
Selepas hasratnya untuk berhijrah ke pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara tidak kesampaian, Ronaldo kini perlu kembali mendapatkan kepercayaan Ten Hag sekiranya mahu diberikan lebih minit permainan.
Ketika ini, Ten Hag dilihat lebih cenderung untuk meletakkan Marcus Rashford sebagai penyerang utama pasukan berbanding Ronaldo. – AGENSI