PETALING JAYA – Seorang pesakit asma berusia 19 tahun ditahan polis kerana disyaki mencuri dompet milik seorang pesakit lain di wad Jabatan Kecemasan Hospital Ampang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek disyaki mencuri dompet seorang pesakit wanita warga Indonesia ketika kedua-dua mereka sedang menerima rawatan asma di hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menahan suspek yang bekerja sebagai penghantar surat itu di hospital berkenaan selepas menerima laporan kira-kira pukul 8.58 pagi.
“Kedua-dua mereka adalah pesakit luar yang hadir ke hospital bagi tujuan mendapat rawatan asma. Secara kebetulan ditempatkan dalam bilik yang sama dengan katil bersebelahan.
“Pihak polis selepas menerima makluman hadir di tempat kejadian dan menahan suspek lelaki bersama barang rampasan wang tunai RM660 serta satu dompet warna kelabu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamad Farouk berkata, siasatan awal polis mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Jelas beliau, polis bagaimanapun memperoleh kebenaran tahan reman terhadap suspek selama empat hari sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan lanjut.
“”Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu melakukan curi dalam bangunan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE