fbpx

Susah mahu cari makan sebab lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hapis (dua kanan) dan isteri, Nurul Aziatul Akma (kanan) berdiri di hadapan rumah sewa mereka ketika ditemui di seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Entah di mana silapnya, nasib sepasang suami isteri terus dirundung malang apabila bukan sahaja hidup dalam kemiskinan, malah permohonan untuk mendapatkan lesen berniaga air kelapa pun tidak diendahkan pihak berkuasa.

Muhammad Hapis Muhammad, 34, berkata, dia dan isteri, Nurul Aziatul Akma Mohd. Hanifah, 31, buntu kerana terpaksa berniaga dalam keadaan cemas dan takut setiap hari kerana bimbang peralatan dan buah kelapa dirampas pihak berkuasa.

Katanya, selama enam tahun dia berniaga di sekitar Port Dickson tanpa lesen kerana sudah tiada pilihan bagi meneruskan ke­langsungan hidup dan mencari pendapatan untuk menampung anak-anak berusia enam hingga 11 tahun.

“Sepanjang enam tahun itu, saya sudah menempuh pelbagai dugaan di antaranya peralatan berniaga dirampas pihak berkuasa kerana berniaga tanpa lesen.

“Bukan tak mohon tetapi sudah buat beberapa kali tetapi tidak berjaya. Memang saya hendak berniaga mengikut saluran yang betul tetapi tak tahu me­ngapa permohonan saya tidak diluluskan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Mambau di sini baru-baru ini.

Menurut Muhammad Hapis, dia begitu berharap agar pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dapat membantunya memperoleh lesen berniaga supaya dia dapat mencari rezeki dalam keadaan yang tenang.

Tambahnya, sehingga kini mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak kecuali ada sekali mendapat bekalan barangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya berniaga menggunakan kereta Perodua Kancil yang diberikan oleh abang. Kereta itu digunakan untuk mengangkut peralatan dan 30 biji buah kelapa dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan,” katanya.

Ujar Muhammad Hapis, kos bulanan yang dia tanggung ialah RM400 untuk sewa rumah selain susu dan lampin pakai buang RM300.

“Saya buntu untuk mencari duit kerana bimbang dengan kehadiran pihak berkuasa ketika saya sedang berniaga. Trauma barang-barang dirampas masih kekal dalam ingatan,” katanya.

Lebih menyedihkan, anak sulungnya tidak pernah menonton televisyen sejak lahir di rumah­nya kerana dia tidak mampu untuk menyediakannya.

“Jika dapat lesen berniaga, mungkin ia akan mengubah nasib kami sekeluarga,” rintihnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank CIMB miliknya di nombor 1221 0085 6115 21 atau hubungi Nurul Aziatul Akma di talian 011-6066 9744.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI