fbpx

Pekerja kedai telefon didakwa amang seksual remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini,

MELAKA – Seorang pekerja kedai telefon bimbit berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Low Jen Fung, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun 11 bulan kira-kira pukul 3.04 pagi di sebuah alamat di Plaza Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah, pada 8 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon agar tertuduh tidak diberikan jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.

Peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya baharu dua minggu bekerja di sebuah kedai telefon bimbit, selain menjaga nenek yang menghidap sakit darah tinggi dan kencing manis.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 12 Oktober depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI