SEBERANG PERAI – PAS menyifatkan rundingan berhubung kedudukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO masih berlangsung selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu masih mempunyai banyak masa sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.
Menurutnya, perbincangan boleh berlangsung bila-bila masa dan tidak bergantung dengan mana-mana tarikh atau tempoh pembubaran.
“Kita masih ada banyak masa dan saya rasa pembubaran Parlimen belum tentu pada tahun ini atau tahun depan dan masa masih panjang.
“Selain itu, kita juga sedia untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk parti pembangkang.
“Isu ini boleh dibincangkan di semua peringkat tetapi saya bukan ‘top 5’ dalam parti, namun saya boleh sahkan ada rundingan dan perbincangan yang berlangsung melibatkan pimpinan negeri dan akar umbi ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha PAS untuk menyuburkan kembali MN sempena PRU-15.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen bukan hanya terletak pada tangan Perdana Menteri sahaja tetapi melalui persetujuan Kabinet.
“PM perlu membentangkan perkara ini kepada Kabinet bagi menentukan waktu terbaik untuk mengusulkan nasihat kepada YDPA berhubung pembubaran Parlimen.
“Setakat ini, tidak ada lagi memorandum Jemaah Menteri berhubung pembubaran Parlimen,” tambahnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan perjumpaan pimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ UMNO yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini ditangguhkan ke tarikh baru yang akan diumumkan Setiausaha Agung parti itu kelak.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengadakan pertemuan lebih awal bersama lima pemimpin tertinggi UMNO berhubung tarikh PRU-15 sebelum pembentangan Bajet 2023. – KOSMO! ONLINE