fbpx

Nilai positif di sebalik penyusutan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Ketika ini nilai ringgit susut kepada RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat. Situasi tersebut sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada banyak pihak, baik kepada peniaga khususnya yang terlibat dalam sektor pengimportan barangan dari luar serta orang ramai yang berdepan dengan kenaikan harga barang.

Bagaimanapun, di sebalik penyusutan nilai ringgit itu sebenarnya turut tersembunyi hikmah yang positif kerana ia menjadikan produk eksport negara menjadi lebih kompetitif. Malah, dari sudut pelancongan pula, ia menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi kerana kos untuk melancong di negara ini menjadi lebih rendah.

Jadi, kesempatan ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh negara untuk terus melonjakkan jumlah eksport selain berusaha keras untuk kembali menjadikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi oleh warga dunia.

Nilai eksport negara ketika ini yang meningkat sehingga 38 peratus dengan jumlah RM134 bilion mungkin boleh menjadi asas dan titik tolak kepada negara untuk tidak hanya bergantung kepada produk-produk sedia ada sebaliknya berusaha untuk menambah dan mempelbagai produk ‘Made in Malaysia’ untuk pasaran dunia.

Malah, sudah sampai masanya juga untuk kita tidak hanya mengeksport bahan-bahan mentah ke luar negara, sebaliknya kita jadikan bahan-bahan mentah itu sebagai produk akhir berkualiti yang dihasilkan di negara ini untuk pasaran dunia.

Bukan apa, selama ini, banyak bahan mentah milik kita yang dieksport keluar negara dengan harga yang murah, tetapi akhirnya dibeli semula oleh kita dalam bentuk produk akhir sebagai barang import dengan harga yang lebih mahal. Lebih menyedihkan ia telah berlarutan sejak sekian lama.

Jika ini kita dapat laksanakan, ia sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada proses untuk membantu negara kembali membina asas-asas ekonomi yang kukuh bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa depan.

Asasnya mudah, seboleh-bolehnya kita berusaha untuk mengurangkan semaksimum mungkin daripada terus bergantung kepada produk-produk import, sebaliknya kita sedaya upaya cuba menghasilkan sendiri semua produk yang diperlukan negara khususnya dengan menggunakan bahan-bahan mentah yang kita ada.

Pada masa yang sama, usaha-usaha untuk menarik dan meyakinkan pelabur asing untuk datang dan kembali melabur di negara ini mesti terus dipergiatkan. Jangan sekali-kali selesa dengan yang ada sekarang. Jika boleh, kita mahu nama-nama besar bertapak di Malaysia.

Begitulah juga halnya dengan usaha-usaha untuk kembali menarik pelancong ke Malaysia. Penyusutan ringgit sehingga RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat sudah tentu akan memberi kelebihan kepada pelancong luar khususnya dari benua Eropah, Asia Barat dan seluruh dunia untuk datang ke negara ini.

Cuma, kita perlu lebih agresif untuk menarik mereka dan berbelanja di negara kita. Jika perlu, cipta atau wujudkan lebih banyak produk tarikan baharu seperti yang dilakukan Dubai, perkemaskan produk sedia ada dan jaga mutu ‘layanan Malaysia’ kepada tetamu kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI