fbpx

NCT Group meterai kerjasama dengan empat syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurusan kanan NCT Group, AmBank, UOB Malaysia, MCCC dan SAMGB pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah, NCT Group of Companies (NCT Group) mengumumkan kerjasama sinergi bersama empat organisasi iaitu AmBank, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Samaiden Group Berhad (SAMGB) dan UOB Malaysia untuk mengukuhkan nilai projek NCT Smart Industrial Park (NSIP) yang akan datang.

NCT Group memeterai Memorandum Penerokaan Perniagaan bersama AmBank Group dan UOB Malaysia bertujuan untuk mempromosikan pembangunan mampan dengan menawarkan pakej pembiayaan khusus kepada pelanggan untuk projek NSIP.

Sementara menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan MCCC, NCT Group akan memanfaatkan kepakaran MCCC dalam menarik pelabur dari China dan negara ASEAN lain untuk melabur dalam hartanah serta produk pembangunan NCT di bawah projek NSIP. 

Untuk menarik pelaburan langsung asing, pelabur yang disyorkan oleh MCCC turut layak mendapat keistimewaan promosi tambahan dan diskaun.

Bersama SAMGB pula, NCT Group menandatangani Surat Penerokaan Perniagaan yang akan menyaksikan SAMGB membina kemudahan dan pemasangan bagi penyelesaian tenaga mampan untuk NSIP, seperti tenaga biojisim dengan sistem loji kuasa Biojisim Bersambung Grid untuk menjana tenaga elektrik. 

Selain itu, SAMGB juga akan menawarkan sistem bumbung solar photovoltaic mengikut kesesuaian untuk penyewa NSIP, yang akan menyumbang kepada penjimatan sehingga 30 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga dalam operasi 24 jam.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pihaknya komited untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan terbaik kepada pelanggan untuk memastikan projek itu berkembang maju dengan usaha yang mesra alam, mampan dan sejajar dengan falsafah syarikat untuk menggabungkan teknologi seiring dengan alam semula jadi. 

“Oleh itu, kami menyasarkan untuk mencapai status Green Real Estate (GreenRE) untuk NSIP. 

“Kami sentiasa mencari rakan niaga yang mementingkan inovasi dalam teknologi mesra alam dan dengan pemeteraian kerjasama ini, kami yakin NSIP akan menjadi perintis bagi pembangunan mampan alam sekitar yang diterajui teknologi,” katanya dalam satu kenyataan semalam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI