fbpx

Nafsu songsang ustaz rosakkan imej agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK kebelakangan ini, kes gangguan seksual melibatkan kaum sejenis semakin banyak dilaporkan oleh media, namun yang mengejutkan apabila ia dikaitkan dengan golongan agamawan ataupun penceramah agama.

Kes yang terbaharu juga melibatkan seorang selebriti lelaki yang berusia 40-an yang juga penceramah bebas, pengacara dan pelakon telah ditahan pihak berkuasa di Selangor berikutan dakwaan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan remaja lelaki.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pi­haknya menerima empat laporan yang dibuat mangsa berusia dalam lingkungan 17 hingga 18 tahun iaitu dua di Klang Selatan, Shah Alam (1) dan satu di Kajang (1) berhubung kejadian itu.

Dua lagi dibuat di Negeri Sembilan. Walaupun dakwaan itu belum dibuktikan bersalah, namun jauh di sudut hati penulis terbu­ku rasa bimbang jika suspek benar-benar melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mang­sa.

Tidak dinafikan wujud kelompok agamawan yang bernafsu songsang atau gay berselindung di sebalik nama ‘agama’ yang ramai tidak tahu, contohnya di pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama.

Bagaimanapun, isu ini tidak didedahkan kepada umum kerana bimbang dengan penerimaan dan juga persepsi masyarakat yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada golongan tersebut. Mereka sebenarnya boleh dilabel sebagai penunggang agama.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh dengan mendakwa, jumlah golongan agamawan berstatus ustaz yang bernafsu songsang iaitu gay semakin menjadi barah dan sangat serius di negara ini sekarang.

“Berdasarkan rekod, jumlah mangsa yang diliwat yang menjalani sesi kaunseling dengan saya adalah sebanyak 32 kes pada tahun lalu, manakala tahun ini pula bagi tempoh lima bulan sehingga Mei lalu sudah mencapai 12 kes.

“Kiraan ini berdasarkan mang­sa (pelajar sekolah agama) yang datang berjumpa saya, belum ambil kira jumlah yang menjalani sesi kaunseling dengan pakar-pakar lain,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan 15 mangsa kes liwat di sebuah pusat tahfiz yang menjalani sesi kaunseling, pihaknya mendapati 14 pelajar takut untuk mendedahkan kejadian berkenaan.

“Mangsa yang paling muda adalah berusia 13 tahun. Salah seorang pelajar telah membongkar kejadian itu kepada ibu bapanya, sekali gus menyebabkan kegiatan yang berlaku beberapa tahun terdedah,” katanya.

Jelas beliau, kebanyakan us­taz songsang yang menjalani sesi kaunseling mendakwa pernah menjadi mangsa liwat ketika mereka kecil sama ada oleh ahli keluarga sendiri, rakan seasrama dan juga ustaz di tahfiz atau maahad pengajian menyebabkan mereka trauma dan tidak kurang juga jadi ketagih.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, golongan pendak­wah diingatkan agar tidak terjebak dengan perbuatan ti­dak bermoral kerana ia boleh menyebabkan mereka tidak lagi dipercayai masyarakat.

“Mereka perlu sentiasa mengamalkan setiap dakwah yang di­sampaikan kepada masyarakat dan juga sentiasa bermuhasabah diri.

“Selain itu, mereka juga perlu menyedari risiko menjadi seorang individu yang mempu­nyai pengaruh kepada golo­ngan masyarakat dan pada masa sama, perlu menjaga tingkah laku agar sentiasa dipandang positif oleh masyarakat,” katanya.

Secara kesimpulannya, tanggungjawab membendung dan menangani isu gangguan seksual adalah menjadi tanggungjawab pemerintah mengenakan hukuman, peraturan atau polisi yang paling berkesan dalam menanga­ninya serta mengekangnya daripada berkembang.

Pada masa sama, mangsa ataupun mereka yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan itu perlu melaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan dapat diambil. Jangan berdiam diri kerana ia tidak mampu menyelesaikan apa yang berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI