SEBERANG PERAI – Enam suspek termasuk seorang wanita ditahan susulan penemuan ganja dengan anggaran RM19,346.12 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada suspek itu yang bekerja sebagai mekanik ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kereta di Permatang Rawa, Bukit Mertajam kira-kira pukul 8.30 malam, tiga hari lalu.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut polis berjaya merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 6,350 gram bernilai RM15,875 selain merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 19 butir peluru.
“Serbuan kedua pula dibuat di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Permatang Pauh kira-kira pukul 9.30 malam hari yang sama (dengan serbuan pertama).
“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci turut ditahan manakala sebanyak satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja dengan anggaran berat 244.77 gram bernilai RM611.92 pula dirampas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Cheng San, serbuan ketiga kemudian dilakukan pada pukul 12.30 malam di kawasan Kubang Semang sekali gus menahan sepasang suami isteri bersama dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat ganja bernilai RM2,614.20.
Turut dirampas adalah satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 7.00 gram bernilai RM245.
“Risikan polis mendapati, aktiviti pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran tempatan itu telah aktif sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 15,280 penagih.
“Kesemua tangkapan yang berusia antara 31 hingga 56 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila dua buah kereta dan tiga motosikal pelbagai jenama disita bersama wang tunai bernilai RM11,400. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM96,546.12,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE