BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand menyimbah asid ke muka bekas isterinya dengan harapan bahawa wajah yang buruk akan membuatkan wanita itu berbaik semula dengannya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Suspek dilaporkan melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah salun kecantikan di Don Mueng yang merupakan tempat mangsa bekerja.
Rakaman kejadian tersebut tular di media sosial Thailand apabila ia memaparkan suspek menyimbah asid ke muka mangsa dan wanita itu bertempiaran lari masuk ke dalam salun untuk membasuh bahan berbahaya itu.
Menurut polis, lelaki itu memberitahu motif serangan adalah supaya wajah mangsa menjadi hodoh, tidak boleh berkahwin lagi dan akhirnya kembali ke pangkuannya.
Dia mendakwa mendapatkan asid berbahaya itu menerusi pembelian secara online.
“Sekarang anda suda tidak boleh berkahwin lain, jadi terima saya semula,” katanya semasa ditemui media bersama polis.
Ketua Polis Don Mueang berkata, suspek serangan asid akan didakwa dengan jenayah serangan.
Sebaik sahaja mangsa pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami, polis akan menilai semula tahap jenayah yang dilakukan dan mungkin mengenakan dakwaan lanjut.
Mangsa dilaporkan masih berada di hospital untuk dirawat akibat luka asid. Doktor berkata, mereka perlu menanggalkan semua kulit yang terkena asid untuk memelihara lapisan kulit yang lebih dalam. – Agensi