SABAK BERNAM – Perintah sekatan buang daerah (PCO) tidak menghalang seorang lelaki mendalangi kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan bersama kekasihnya di sekitar daerah ini.
Pasangan kekasih berusia 30an itu diberkas bersama empat suspek lain dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Kluang, Johor pada 25 Ogos dan 5 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, berdasarkan siasatan mendapati mereka terlibat dalam sembilan kes sejak bulan lalu.
Katanya, hasil maklumat dan risikan pihaknya berjaya menahan kekasih suspek utama di sebuah rumah di Sungai Air Tawar di sini sebelum memberkas empat suspek lain berusia 17 hingga 54 tahun di sekitar daerah ini.
“Polis kemudiannya berjaya menahan suspek utama yang masih menjalani PCO di sebuah rumah di Kluang, Johor pada 5 September lalu.
“Semakan mendapati suspek utama mempunyai 43 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.
Jelas Agus Salim, hasil semakan turut mendapati suspek yang menjalani PCO dari Kluang ke Sabak Bernam sejak 20 Disember tahun lalu selepas terlibat dalam jenayah sama.
Tambah beliau, lelaki itu bagaimanapun didapati kembali aktif pada Ogos lalu dan melakukan jenayah bersama penduduk tempatan.
“Menerusi tangkapan itu berjaya merampas dua motosikal dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang keseluruhannya berjumlah RM25,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka termasuk pasangan kekasih itu positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya.
Kata Agus, polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tempoh sebulan lalu menerusi tangkapan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (2) (f) Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana melanggar syarat pengawasan polis. – KOSMO!ONLINE