LONDON – Keranda yang membawa jasad mendiang Ratu Elizabeth II diarak dari Istana Buckingham di London ke Westminster Hall pada petang semalam (waktu tempatan), dan akan bersemayam di situ selama empat hari, lapor agensi berita United Press International (UPI).
Beribu-ribu rakyat Britain menyaksikan keranda mendiang baginda yang diarak di atas pedati meriam dan ratusan ribu dijangka hadir memberi penghormatan terakhir di Westminster Hall dalam beberapa hari akan datang sebelum pengebumian rasmi pada Isnin depan.
Perarakan itu melalui sepanjang Sungai Thames dan melintasi pusat bandar London, Queen’s Gardens, Mall, Horse Guards dan Horse Guards Arch, Whitehall, Parliament Street, Parliament Square dan New Palace Yard.
Anggota keluarga diraja berjalan di belakang pedati meriam yang membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II termasuk Raja Charles III dan tiga anak mendiang yang lain iaitu Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.
Cucu baginda, Putera William dan Putera Harry turut serta mengekori rapat pedati meriam sepanjang perarakan yang berlangsung selama 40 minit.
Perarakan dan persemadian jasad Ratu Elizabeth di Westminster Hall adalah istiadat terbesar pertama di Britain sejak baginda menaiki takhta hampir 70 tahun lalu. – Agensi