AKTRES jelita Jung Chae-yeon bakal menjalani pembedahan pada tulang selangkanya akibat kecederaan yang dialami ketika berada di set penggambaran.
Berita duka tersebut dikongsikan agensinya yang memberitahu Chae-yeon sebelum ini terjatuh tangga ketika berada di lokasi penggambaran drama terbaharunya, The Golden Spoon.
“Selepas dikejarkan ke bahagian kecemasan hospital dan menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) dan X-ray, Chae-yeon didiagnosis dengan patah tulang selangka dan menunjukkan simptom gegaran otak.
“Justeru, dia akan menjalani pembedahan pada bahagian tulang selangkanya yang patah sekali gus memeriksa kerosakan ligamen sekiranya berlaku.
“Sekiranya terdapat kerosakan, dia juga memerlukan jahitan pembedahan dengan segera pada waktu yang sama,” tulis agensi mereka.
Chae-yeon yang juga aktif sebagai penyanyi baru sahaja meluncurkan sebuah single berjudul Rooting For You.