PUCHONG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menaiktaraf kuasa bunyi siren amaran banjir yang didakwa tidak berfungsi dengan baik sebelum ini.
Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, sehingga kini 300 lokasi siren amaran telah dinaik taraf.
“Ada 5500 siren di kawasan sasaran banjir. 500 daripadanya ialah kawasan kritikal. 300 kawasan dah dinaik taraf bunyi iaitu merangkumi 10 peratus kawasan sasaran.
“Sebelum ni biasanya ia dibunyikan seminit tapi sekarang dinaikkan ke 2 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Taklimat Program Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sebanyak 6,010 jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) berkapasiti 1.6 juta sedia diaktifkan.
“Semua PPS disediakan di seluruh negara namun daripada jumlah tersebut hanya sebanyak 1,363 PPS yang sering diaktifkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE