JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo(Jokowi) memaklumkan bahawa pentadbirannya sedang membuat pertimbangan untuk membeli minyak dari Russia sementara harga minyak mentah dunia sedang mengalami penurunan mendadak.
Menurut laporan laman Tribunnews kelmarin, Jokowi menegaskan pihaknya sentiasa memantau semua pilihan terbaik untuk kepentingan negara.
“Kami (kerajaan) selalu memantau semua pilihan yang ada dan akan memilih yang terbaik buat Indonesia.
“Jika ada negara yang menawarkan harga minyak lebih baik dan berpatutan, kita (Indonesia) tidak mempunyai masalah untuk melakukan urusan jual beli,” tegas Jokowi.
Indonesia sedang mempertimbangkan langkah menuruti China dan India yang telah membeli berpuluh-puluh juta tan minyak Rusia bagi mengimbangi tekanan fiskal disebabkan oleh peningkatan kos tenaga.
Kenaikan harga minyak mentah dunia adalah akibat daripada konflik yang semakin meruncing antara Rusia dan Ukraine.
Ini memaksa kerajaan pusat menaikkan harga bahan api di Indonesia ke paras tertinggi pada awal September 2022.
Pada Ogos lalu, Menteri Pelancongan, Sandiaga Un mendedahkan bahawa Indonesia telah ditawarkan minyak mentah Rusia pada diskaun 30 peratus.
Namun, sehingga kini, Jokowi masih belum memutuskan sama ada Indonesia secara rasmi akan mengikut langkah negara jirannya untuk mengimport minyak dari Rusia atau terus mengimport minyak dari pasaran global dengan harga melambung tinggi. – Agensi