GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah mengenal pasti kira-kira 281 lokasi kawasan ‘hotspot’ banjir di lima daerah negeri ini.
Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya telah bersedia menghadapi monsun Timur Laut dengan membabitkan 1,701 anggota operasi di 20 balai seluruh negeri termasuk pasukan bomba sukarela.
“Sebanyak 86 lokasi di daerah Seberang Perai Tengah dikenal pasti sebagai kawasan hotspot banjir, Seberang Perai Utara (56), Timur Laut (55), Barat Daya (45) dan Seberang Perai Selatan (49).
“Persedian JBPM Pulau Pinang kali ini adalah lebih baik berbanding monsun Timur Laut tahun lalu sebagaimana arahan Perdana Menteri yang mahukan bencana tahun ini dihadapi dengan menyeluruh,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Saadon, keperluan aset juga telah disediakan yang mana melibatkan 24 buah kenderaan marin (bot aluminium) dan 55 buah kenderaan pelbagai fungsi (kenderaan penarik, pengangkutan logistik dan kenderaan untuk pemindahan mangsa.
“JBPM negeri juga telah mula mempersiapkan anggota dengan mengadakan latihan pengukuhan pasukan khas iaitu pasukan multiskill team atau must team, latihan pengukuhan pasukan special tactical operation and rescue team of Malaysia atau pasukan Storm.
“Latihan bermula dari 12 September hingga 16 September bagi kedua-dua latihan tersebut, kita juga akan adakan latihan pengukuhan bagi pasukan penyelamat di air pada 19 September hingga 23 September depan.
“Kita juga akan membuat latihan pengendalian bot secara menyeluruh melibatkan 20 balai pada 29 September depan, latihan-latihan ini adalah persediaan dan persiapan yang telah kita buat untuk hadapi apa-apa kemungkinan berlaku pada monsun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beritahu beliau, Pulau Pinang juga menjadi negeri yang dipilih menjadi pusat pengurusan Regional Forward Base (RFB) Wilayah Utara bagi berdepan monsun Timur Laut tahun ini.
”RFB Wilayah Utara yang berpusat di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Perda
berfungsi sebagai penempatan anggota dan logistik mengikut negeri yang melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
”RFB berupaya mengukuhkan dan memanfaatkan kekuatan anggota di wilayah Utara pada tahap optimum, di mana anggota dari negeri yang tidak terjejas akan digerakkan ke negeri terjejas banjir,” katanya.
Tambahnya, kesemua agensi termasuk JBPM kini diletakkan dalam mod bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat dan berkemungkinan banjir mulai November ini sehingga Mac tahun depan. – KOSMO! ONLINE