fbpx

Hari Malaysia: 100 peniaga Galeri Warisan berbusana tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAIMUNAH Madlan (tengah) bersama dua peniaga Galeri Warisan di Banda Hilir, Melaka mengenakan busana tradisional sempena sambutan Hari Malaysia. - FOTO/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Seramai 100 peniaga Galeri Warisan di Banda Hilir di sini akan mengenakan busana tradisional era 60-an sempena sambutan Hari Malaysia malam ini (Jumaat).

Seorang peniaga, Maimunah Madlan, 48, berkata, para peniaga sepakat menyahut saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk mengenakan busana tradisional bagi mengimbau kembali nostalgia ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Menurutnya, lebih mengujakan apabila sambutan tersebut akan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak berhampiran dengan Galeri Warisan.

“Lokasi sambutan sangat dekat jadi mengapa kami para peniaga tidak turut sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia.

“Para peniaga teruja dan seronok apabila kami mencadangkan perkara ini dan masing-masing pantas memberi idea busana apa yang mahu digayakan.

“Ada yang mahu berpakaian seperti hulubalang sementara wanita pula memilih untuk kelihatan anggun seperti mengenakan songket dan kebaya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Abd. Halim Hamzah, 48, berkata, inisiatif mengenakan busana tradisional tidak hanya pada Hari Malaysia sahaja tetapi pada setiap masa demi menonjolkan seni, warisan, budaya dan jiwa bangsa.

Katanya, ia selari dengan jenis perniagaan yang ada di Galeri Warisan seperti cenderamata, replika senjata zaman dahulu, busana dan makanan tradisional.

“Saya jangkakan ramai pelancong akan datang ke Melaka memandangkan hari tersebut adalah cuti umum, memakai busana tradisional pada Hari Malaysia ini juga akan menjadi antara faktor penarik kepada pengunjung untuk datang.

“Di samping itu, kita dapat menonjolkan keindahan seni dan warisan bukan sahaja kepada bangsa sendiri, malah bukan Melayu juga,” katanya.

Tambahnya, semangat itu secara tidak langsung dapat mengetengahkan kepentingan memelihara nilai estetika pakaian orang Melayu suatu ketika dahulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI