BATU PAHAT – Dua nelayan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki dipukul ombak ketika memukat ikan sebelum karam dalam kejadian di perairan Parit Hailam di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang hilang dikenali Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Neng, 60, sehingga kini tidak ditemui.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, kejadian berlaku ketika mereka memukat ikan kira-kira 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam.
Katanya, menurut maklumat awal, bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh empat orang kru rakyat tempatan yang keluar ke laut untuk memukat ikan.
“Bagaimana pun, keadaan cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya karam.
“Tekong bersama seorang lagi kru berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran.
“Namun dua lagi kru tidak sempat untuk menyelamatkan diri dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, susulan daripada kejadian itu, Op Carilamat diaktifkan pada pukul 8 malam dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi.
“Ketika di lokasi, bot nelayan itu tidak kelihatan kerana dipercayai telah tenggelam sepenuhnya, mangsa yang diselamatkan dipindahkan ke bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti dan di rujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
“Op Carilamat bagi dua kru bot nelayan yang masih hilang diteruskan hari ini dengan tambahan aset dan anggota dari Maritim Malaysia serta dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya. – KOSMO! ONLINE