PETALING JAYA – Jangan sesekali membawa bagasi orang lain yang tidak diketahui apakah isi dalamnya di lapangan terbang ketika anda sedang mengembara.
Satu perkongsian menarik dari Facebook Zainuddin Omar menjelaskan, ‘dosa’ paling besar di lapangan terbang adalah membawa ‘luggage’ orang lain tanpa anda ketahui apa di dalamnya, apatah lagi dari orang yang tidak dikenali.
Jelasnya, pengembara perlu berhati-hati dengan ‘drug mule’ (keldai dadah) yang berkeliaran di lapangan terbang.
“Catatan ini saya tulis pada tahun 2018 semasa berada di Lapangan Terbang Vienna setelah sebulan mengembara di negara-negara Eropah. Selepas ‘check-in’ kami mencari tempat yang tiada ramai orang untuk makan malam ‘sandwich’ sardin.
“Banyak kerusi kosong kerana penerbangan kami malam, memang tidak ramai pengembara di Lapangan Terbang Vienna pada masa itu. Sambil menikmati ‘sandwich’ sardin, seorang perempuan datang dan duduk sebelah saya, walhal banyak lagi kerusi lain yang kosong.
Dia nak minta saya tolong bawakan barangan dia melepasi pemeriksaan keselamatan. Dalam kepala saya, dah sah dia ini seorang keldai dadah profesional,” tulisnya.
Tambah Zainuddin, terlalu ramai yang sudah terkena tahan dan merengkok dalam penjara atau dihukum mati kerana membawa dadah dari sindiket ‘drug mule’ ini.
Katanya, pernah ada satu agensi pelancongan Malaysia meminta tolong seorang pelanggan mereka membawa satu barang ke Australia tanpa diberitahu apa barangannya.
“Beliau ditahan di airport kerana membawa barangan tersebut berupa mata wang Australia melebihi dari had yang dibenarkan.
“Adalah elok untuk kita berperangai baik tetapi ada masa perlu berkurang ajar terhadap mereka yang cuba menggunakan kita,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE.