fbpx

Bajet 2023: Sektor pendidikan perlu peruntukan lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah (enam kanan) dan Massila (enam kiri) bersama peserta program itu.

KUALA SELANGOR – Kerajaan disaran dapat menyalurkan peruntukan lebih besar bagi sektor pendidikan dalam pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, agenda pendidikan perlu diperkasa dan diberi tumpuan khusus bermula peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah katanya, beliau sendiri diberi tugasan oleh Canselor UiTM, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat sendiri peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara dalam memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan.

“Baginda bertanyakan perkara itu kepada saya sewaktu Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94, baru-baru ini.

“Peratusan pendidikan sebenarnya tidak tinggi iaitu hanya empat peratus daripada GDP manakala peringkat pengajian tinggi iaitu 0.9 peratus dan ia sangat rendah,” katanya pada sidang akhbar
selepas Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan di UiTM Puncak Alam di sini, malam tadi.

Konvesyen selama dua hari yang disertai 34 IPT di seluruh negara itu dirasmikan  Naib Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Prof. Dr. Massila Kamalrudin.

Roziah menjelaskan, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara maju seperti Korea Selatan dan Singapura yang bukan saja menumpukan konteks kajian penyelidikan di peringkat universiti malah meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Keupayaan belia dalam bidang TVET amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi. Sebagai contoh, Jerman dan Finland turut berbelanja lebih untuk membeli peralatan dan perkakasan untuk peningkatan dalam bidang itu,” ujarnya.

Tambah beliau, pembentukan sesebuah negara maju memerlukan perbelanjaan tinggi dan fokus dalam sektor pendidikan negara secara berterusan.

“Jika mahu membentuk negara 30 tahun akan datang, kita perlu berbelanja daripada sekarang dan pastinya melibatkan pelaburan dalam bidang pendidikan,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI