KUALA LUMPUR – Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menepati ramalan mara ke final 100m Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Kejayaan itu hadir selepas Azeem, 18, mencetak masa 10.33 saat (s) untuk mengungguli peringkat saringan 3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Ia adalah catatan masa terpantas daripada ketiga-tiga peringkat saringan 100m sekali gus memberi bayangan Azeem berpotensi besar untuk memenangi status raja pecut Sukma pada final esok.
Turut melangkah ke final ialah dua pemenang peringkat saringan 1 dan 3 iaitu Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan masa 10.57s serta Muhammad Arsyad Md. Saat (10.54s).
Enam lagi pelari yang mara ke final ialah Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Alif Iman Mohd. Fahmi, Muhammad Fakhrul Abdul Aziz, Muhammad Idham Rosli, Nabil Alwani Rizal Alwani dan Muhammad Zulfiqar Ismail. – KOSMO! ONLINE