PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Aman Shah yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung petang semalam sudah sering keluar masuk hospital sejak setahun lalu berikutan beberapa masalah kesihatan.
Anak sulung Allahyarham, Hadzly Aman Shah, 43, berkata biarpun kurang cergas berbanding dahulu, arwah yang tinggal bersamanya masih mampu menguruskan diri sendiri.
“Memang kesihatan arwah semakin merosot sejak setahun lalu berikutan masalah jantung membuatkan dia agak lama tak aktif berlakon atau menyanyi.
“Begitupun, bapa saya tetap menjalani hari-hari macam biasa, cuma tak secergas dulu. Sebenarnya sudah beberapa kali dia dikejarkan ke hospital, dengan kejadian terbaru dua minggu lalu.
“Pada 9 September Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani prosedur memasang sten atau kateter belon.
“Prosedur itu berjalan lancar, tetapi pagi tadi (semalam) keadaannya berubah hingga diberikan bantuan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation).
“Allah lebih sayangkannya apabila sejam kemudian bapa menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang turut memaklumkan arwah juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Terdahulu, penyanyi lagu Adikku Pandai Menari dan Kepulangan Yang Dinanti itu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN, kira-kira jam 2.20 petang tadi.
Pengurusan jenazah disempurnakan di IJN sebelum dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras untuk solat jenazah.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, pada pukul 10 malam tadi.
Aman Shah atau nama penuhnya Aman Shah Abu Kassim, 68, meninggalkan enam cahaya mata.
Menyingkap permulaan pembabitan dalam arus hiburan tanah air, penyanyi yang digilai ramai era 1980-an itu asalnya bermain band di majlis kenduri kahwin pada usia awal belasan tahun.
Biarpun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal dan hanya belajar daripada buku muzik, minat mendalam mendorong anak jati Johor Bahru itu menubuhkan sebuah kugiran.
Kumpulan dinamakan The Rembles yang direalisasikan ketika beliau berada di Tingkatan Lima itu menyaksikan Aman sebagai vokalis dan pemain gitar utama.
Digeruni pesaing, band tersebut pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971 selain kerap membawa pulang trofi kejuaraan dalam setiap pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.
Dua tahun kemudian anak muda bersemangat kental itu berhijrah ke Kuala Lumpur sebelum menyertai kumpulan Booty’s Boys mengadakan persembahan di sebuah dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000, satu jumlah besar ketika itu.
Dari situ Aman Shah mengenali mendiang Mike Bernie yang menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music Malaysia pada 1979 hingga 1987.
Sepanjang kerjaya nyanyian Allahyarham menghasilkan lapan album studio serta sebuah album kompilasi.
Antara dendangan yang paling diingati ramai adalah Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983, selain lagu raya malar segar, Kepulangan Yang Dinanti.
Bakat Aman Shah bukan sekadar sebagai penyanyi, kebolehan penciptaan lagu turut terserlah menerusi Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor dalam pertandingan First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.
Lagu Mata dendangan Noor Kumalasari antara gubahan yang menjadi siulan ramai malah Aman Shah turut dianugerahkan kembar tiga platinum atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang turut memuatkan lagu popular ciptaannya, Pusara Di Lebuh Raya.
Bakatnya sebagai pelakon juga terserlah menerusi filem Darah Satria, Azura, Aku Bukan Gila, Sayang Ibu dan Bas Konduktor selain naskhah televisyen seperti Selembut Sutra serta Ke Puncak Jaya.
Tidak sekadar menunggu tawaran, Aman Shah turut bergelar produser dengan menerbitkan drama bangsawan untuk TV3 berjudul Mawas sempena ulang tahun kedua stesen televisyen tersebut.
Sementara itu, difahamkan Allahyarham menyimpan hasrat untuk menjayakan pembikinan sebuah konsert online trash-metal bersama band baharunya, Deathism yang terdiri daripada Ritz sebagai gitaris dan Lee Space (pemain dram).
Namun hasratnya mahu kembali memeriahkan arena muzik ketidak dapat direalisasikan berikutan kondisi kesihatannya.