BEIJING – Taufan Muifa yang melanda China dengan membawa angin kencang dan hujan lebat telah memaksa kira-kira 1.6 juta orang meninggalkan kediaman mereka, selain turut menghentikan kebanyakan operasi penerbangan di lapangan terbang utama di Shanghai.
Muifa adalah taufan tropika terkuat yang pernah melanda kota raya Shanghai yang dihuni lebih 25 juta penduduk sejak rekod mula dicatat pada 1949, kata stesen penyiaran tempatan, CCTV.
Sekurang-kurangnya 426,000 orang telah dipindahkan di Shanghai dan 1.2 juta lagi dibawa ke tempat perlindungan sementara di wilayah Zhejiang yang berdekatan, tambah CCTV.
Hujan lebat menyebabkan aliran trafik terhenti dan banjir di beberapa kawasan di rantau lembangan Sungai Yangtze, sebuah hab pembuatan global yang utama.
Ombak besar mengganas di pantai teluk Hangzhou, selatan Shanghai. Stesen radio nasional pula melaporkan kejadian tanah runtuh di daerah Ninghai, wilayah Zhejiang.
Ribut itu membawa angin berkelajuan sehingga 125 kilometer sejam pada pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan) tadi di daerah Fengxian. Situasi itu mengakibatkan pembatalan semua penerbangan ke hab kewangan terbesar China.
Operasi di beberapa pelabuhan perkapalan kontena terbesar Asia di Shanghai dan Ningbo turut dihentikan berikutan Taufan Muifa yang diramal berterusan hari ini, demikian menurut kenyataan pegawai pelabuhan.
Para pegawai mengarahkan semua kapal nelayan di Laut Kuning dan Laut Bohai untuk berlabuh di pelabuhan ketika timur laut China bersiap sedia menghadapi taufan tersebut.
Taufan Muifa sebelum itu melanda bandar Zhoushan di Zhejiang semalam, demikian menurut agensi berita Xinhua. – AFP