ALOR GAJAH – Seorang warga emas terkedu apabila mendapati rumahnya hangus terbakar sebaik sahaja pulang dari menunaikan solat di masjid di Jalan Bunga Kertas, Kampung Belimbing Dalam, di sini, malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Menurut Ibrahim Kadir, 65, dia terkejut apabila melihat rumah yang didiaminya sejak 42 tahun dan menyimpan banyak kenangan bersama arwah isteri tercinta musnah begitu sahaja.
“Balik dari masjid saya tengok rumah dah hangus terbakar, semua barang musnah dan tidak dapat diselamatkan termasuklah duit simpanan anak.
“Bagaimanapun apa yang saya sedih bukan kerana barang-barang elektrik atau wang tetapi rumah ini banyak kenangan kami sekeluarga, terutama bersama arwah isteri yang meninggal dunia dua tahun akibat sakit jantung,” katanya kepada pemberita.
Anaknya, Shahrul Nizam Ibrahim, 29, pula memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam rumah tersebut dan baharu sahaja menunaikan solat isyak.
“Tiba-tiba saya terdengar letupan kecil antara dapur dan bilik adik, bila pergi periksa saya nampak api dah marak naik ke atas bumbung.
“Saya cuba untuk padam kebakaran dengan bantuan penduduk kampung tetapi tidak berjaya kerana api merebak sangat cepat,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba PBK II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.45 malam.
“Apabila tiba di lokasi kita dapati rumah berukuran 75×50 kaki persegi telah terbakar 80 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.08 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE