PUTRAJAYA – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila disamun tiga lelaki dipercayai warga Indonesia ketika sedang tidur di sebuah unit kuarters di Presint 11, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pasangan suami isteri berkenaan turut diikat dengan wayar pagar oleh suspek sebelum rumah mereka digeledah.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu disedari isteri mangsa selepas menyedari lampu bilik tidur menyala sebelum melihat tiga lelaki dengan salah seorangnya bersenjatakan parang.
Beliau berkata, suspek kemudian mengikat kedua-dua mangsa sebelum menggeledah rumah dan melarikan dua utas gelang tangan, sebentuk cincin emas, seutas rantai leher, 20 utas jam tangan dan wang tunai anggaran RM2,000 dengan keseluruhan kerugian lebih RM41,000.
“Mangsa memaklumkan, ketiga-tiga suspek dipercayai berbangsa Indonesia berdasarkan loghat pertuturan mereka berada di dalam bilik tidur malah, suspek juga sukar dicam kerana memakai pakaian gelap dan berpelitup muka.
“Ketika kejadian, mangsa yang juga penjawat awam tinggal bersama isteri dan tiga orang anak berusia 9 hingga 22 tahun,” katanya ketika dihubungi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai masuk dari arah pintu gelangsar memandangkan ia dalam keadaan terbuka apabila mangsa turun untuk buat pemeriksaan.
A Asmadi berkata, rumah mangsa adalah kuarters kerajaan jenis semi D dua tingkat dan pemerikaaan lanjut mendapati, tiada televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan anggotanya kini sedang berusaha mengesan ketiga-tiga suspek. -KOSMO! ONLINE