fbpx

Status dimuat naik MB Kedah hanya seloka, gurauan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (kiri) berbincang sesuatu dengan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hayati Othman selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan beberapa status yang dimuat naik di akaun Facebooknya kebelakangan ini hanyalah seloka dan gurauan semata-mata.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, seloka serta gurauan yang dimuat naik itu bagaimanapun terselit mesej tertentu untuk dijadikan bahan berfikir.

“Tafsir sendiri-sendirilah (status dimuat naik di Facebook), tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Semua hantaran itu seloka dan gurauan sahaja tetapi ada selit mesej dan bahan untuk berfikir.

“Janganlah kita seronok kerana menang dan berdukacita kerana kalah tanpa memikirkan ibrah atau pengajaran daripada kejadian itu. Kena fikir dan renung balik yang menang siapa dan yang kalah siapa?

“Selain itu kena tengok juga kenapa kita kalah dan kenapa kita menang? Begitu juga macam mana boleh menang?,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beberapa status dimuat naik Muhammad Sanusi kebelakangan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air setelah beliau secara berterus-terang menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC dalam final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu lalu.

Selepas mengucapkan tahniah sambil menempelak pemain JDT kerana didakwa tidak pandai cakap Johor, Muhammad Sanusi hari ini menukilkan pula pantun berbunyi kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai, disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak, disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau tidak mempunyai niat untuk memecah belahkan mana-mana pihak dengan status-status dimuat naiknya itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI