PELAKON handal Reza Rahadian menarik perhatian peminat selepas tampil dengan imej berbeza dengan menukar gaya rambutnya.
Menerusi penampilan terkininya, aktor berusia 35 tahun yang sebelum ini sering menggayakan rambut panjang dan serabai ketara berbeza apabila muncul dengan potongan rambut pendek.
Bukan itu sahaja, imejnya yang sebelum ini dihiasi jambang juga jauh berbeza selepas pelakon filem Mendarat Darurat itu membuang bulu-bulu yang tumbuh pada wajahnya.
Dalam satu temu bual bersama media tempatan, Reza memberitahu dia mengubah gaya rambutnya demi memenuhi tuntutan watak untuk filem terbaharu.
“Gaya ini untuk watak dalam filem baharu saya nanti. Saya rasa begitu lega dan selesa dengan gaya rambut sekarang,” katanya.
Perubahan tersebut sekali gus mendapat pujian dalam kalangan peminat apabila rata-ratanya memberitahu wajah Reza kelihatan lebih muda dan segar.
“Kamu kelihatan sangat kacak dengan potongan rambut pendek. Bahkan kamu juga kelihatan muda selepas mencukur jambang pada wajah,” kata seorang peminat.