JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi seorang penumpang memarahi dan meludah pemandu teksi kerana nombor plat kereta berbeza dengan yang ditempah dalam aplikasi, lapor laman berita Suara.com.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @kabarnegri.
Penumpang wanita yang membawa tiga anaknya itu pada awalnya mengadu kerana pemandu teksi itu membawa kereta berbeza daripada yang tertera dalam tempahan.
Pemandu itu menjelaskan bahawa kereta yang dipandu adalah miliknya dan data serta gambar pemandu masih sepadan dengan yang dipaparkan menerusi aplikasi.
Penumpang itu tidak menerima penjelasan tersebut lalu berkata-kata kasar kepada pemandu itu.
Salah seorang anak wanita itu turun daripada kereta dan berkata bahawa pemandu itu kurang ajar.
Walaupun sudah dipujuk sebaik mungkin, penumpang tersebut masih tidak dapat menerima penjelasannya.
Setelah pemandu itu enggan membawa mereka ke lokasi yang diminta, wanita itu menyiku dan meludahnya sebelum keluar daripada kereta.
Video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Sampai begitu sekali. Hanya perlu turun dan tidak perlu meludah. Tanya baik-baik kenapa nombor plat berbeza daripada paparan dalam aplikasi. Memang pemandu salah kerana berbeza,” kata seorang netizen. – AGENSI