fbpx

Penjenayah seksual bertopengkan agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MENJIJIKAN. Itu perkataan yang boleh diringkaskan mengenai seorang penceramah bebas yang ditahan kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa pelajar sekolah sekitar Selangor.

Apa yang lebih menjana kemarahan ialah pemangsa seksual ini mengenali mangsa menerusi program motivasi anjuran sekolah. Jadi program sekolah dan pelajar-pelajar menjadi lubuk bagi mencari mangsa. Ini seperti membenarkan musang memasuki reban ayam.

Suspek yang berusia 40-an pada awalnya melakukan perbuatan amang seksual terhadap empat mangsa berumur antara 17 hingga 18 tahun. Kini lebih banyak telah mangsa tampil untuk membuat laporan polis. Bukan sahaja di Selangor, pendakwah selebriti didakwa melakukan perbuatan itu di Negeri Sembilan.

Laporan mengatakan suspek akan berbaik dengan mangsa, mengajak pengadu keluar selain menjemput mereka ke rumahnya sebelum melakukan amang seksual. Ini bukan kes pertama membabitkan penceramah atau golongan ‘kononnya’ beragama yang menjadi pemangsa seksual. Sudah banyak berita dilaporkan mengenai kejadian sama berlaku di tahfiz atau pusat didikan agama.

Perwatakan warak dan kepercayaan mereka ini alim seperti boleh berjalan di atas air memudahkan penjenayah seksual bebas mencari mangsa. Daripada orang yang tidak dikenali, dengan hanya beberapa ayat mengenai agama serta mendapat status selebriti agama, mereka mendapat tempat di hati masyarakat. Status selebriti agama digunakan sebagai batu loncatan.

Daripada individu yang mungkin dikenali di kawasan hulu, terus menjadi pakar agama, motivasi, penyanyi, pelakon, mempromosi produk di internet, influencer dan banyak lagi. Jemputan ke majlis di seluruh negara diterima macam pemilik dusun ketika musim durian.

Ramai cuba menidakkan fakta mengenai kehadiran segelintir individu yang menggunakan agama sebagai topeng untuk memenuhi nafsu serakah. Harus dibezakan masalah ini bukan berkaitan Islam itu sendiri. Agama harus dipisahkan daripada sebarang kejahatan. Yang melakukan amang seksual itu manusia bukan agamanya. Masalah ini juga berlaku dalam semua agama.

Cuma masalahnya kepercayaan tinggi masyarakat apabila mereka yang dikenali sebagai ‘penceramah’ atau ‘beragama’ menyebabkan kita mudah mempercayai semua yang keluar dari mulut penjenayah ini.

Malah ada ibu bapa yang menidakkan dakwaan anak-anak mereka yang menjadi mangsa dengan mengatakan ‘mana mungkin orang warak buat macam tu.’ Ini memberikan tekanan emosi yang kekal kepada mangsa-mangsa kerana dakwaan mereka tidak dipercayai.

Ada juga golongan yang mahu supaya keaiban seperti ini tidak dihebahkan kerana menjejaskan sesuatu agama. Ini bukan mengenai keaiban. Ini jenayah. Ini mengenai kanak-kanak tidak berdosa diambil kesempatan oleh mereka yang kononnya menegakkan sesuatu agama.

Jika dianggap semua jenayah sebagai keaiban, lebih baik negara tidak perlukan polis, pendakwa raya, hakim dan mahkamah. Kita biarkan penjenayah bebas. Ini masalah yang wujud dalam masyarakat dan harus diterima. Ia juga kanser kepada agama itu sendiri, mencemarkan ketinggian diletakkan kepada agama.

Semua penjenayah seksual terhadap kanak-kanak sama ada celebriti agama atau tidak harus dihebahkan, pangkalan data diwujudkan sebagai rujukan dan dipantau sepanjang hayat kerana tiada yang lebih menjijikkan daripada mereka yang bertopengkan agama untuk memuaskan nafsu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI