fbpx

Nasyid dan religi berbeza, wujudkan kategori baharu – Azadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZADAN melihat kejayaan Alyah menerusi lagu Thank You Allah sebagai Lagu Nasyid Terbaik AIM23 sebagai satu bentuk kekeliruan.

PETALING JAYA – Ketua kumpulan nasyid, Rabbani, Azadan Abdul Aziz memohon penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM), mewujudkan kategori Lagu Religi Terbaik dalam bagi membezakannya dengan kategori nasyid yang mencetuskan satu kekeliruan pada acara edisi ke-23 tahun ini.

Kata Azadan, dia perlu menyuarakan perkara tersebut kerana mahu memperjelaskan pemahaman terhadap keperluan menambahkan slot lagu religi dalam kategori pertandingan AIM selain lagu nasyid.

“Lagu nasyid adalah lagu yang dinyanyikan penggiat nasyid itu sendiri, manakala dendangan berunsur nasihat, manakala lagu religi atau ketuhanan disampaikan penyanyi bukan penggiat nasyid.

“Jadi perlu menambah satu lagi kategori untuk (penganjuran) pada masa akan datang,” katanya Azadan dalam satu perkongsian media sosialnya.

Isu dibangkitkan Azadan susulan kemenangan lagu Thank You Allah nyanyian Datin Alyah bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

Lagu ciptaan bersama Alyah, Ikhwan Fatanna dan Omar K yang turut menampilkan Cat Farish serta Ustaz Haris tersebut mengenepikan empat pencabar lain, termasuk Selimut Kasih nyanyian kumpulan Inteam.

Pencabar lain dalam kategori sama adalah Syuhud Kalbu dendangan Fitri Haris dan Zarul Umbrella selain Hasbunallah (One Path) dan Linangan Laduni (Darwish).

Menerusi platform media sosial, Azadan turut membuka ruang perbincangan untuk mendengar pula pandangan umum.

“Kalau kategori lagu nasyid dimenangi bukan artis nasyid, apa komen anda?” tulisnya lagi.

Pejuang irama nasyid kontemporari berusia 49 tahun itu mendedahkan isu berkenaan sudah lama dibicarakan, namun tidak dibawa kepada perbincangan yang lebih serius.

Malah sebagai penggiat yang sudah berada dalam industri lebih 25 tahun bersedia memberikan buah fikiran andai diminta berbuat demikian untuk kepentingan generasi pelapis.

“Sudah lama isu ini diperbualkan di peringkat ‘bawah tikar’. Siapa setuju, boleh komen. Ini sekadar perkongsian untuk generasi nasyid akan datang,” tambahnya.

“Kalau perlukan khidmat nasihat orang nasyid, Insya-Allah, saya sedia memberi kerjasama,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI