ALOR SETAR – Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menggesa kerajaan supaya menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.50 sekilogram dengan kadar segera.
Ahmad Tarmizi turut meminta kerajaan menerusi agensi terlibat dalam industri getah membuat kawalan terhadap getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran.
“Melihat kepada perkembangan semasa harga getah yang turun sehingga RM2.30 sekilogram (kg), kita bimbang dengan nasib dan kepayahan penoreh di seluruh negara terutama dari daerah Sik, Baling dan Padang Terap di negeri ini kerana rata-rata adalah masyarakat kampung.
“Tambahan pula keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan harga barangan terus mengalami kenaikan turut menekan penoreh getah untuk menampung kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya lagi, kehidupan penoreh getah yang terdiri daripada golongan usia emas kian terhimpit bahkan mendepani cabaran kemelut kewangan keluarga bagi rawatan perubatan.
“Pendapatan penoreh terjejas tambahan pula pada musim hujan yang berpanjangan dan menyebabkan aktiviti harian mencari nafkah tidak dapat diteruskan.
“Ini berdasarkan laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi yang menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini sehingga boleh membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE