JIKA ada sebilangan wanita menyifatkan pemakaian pelitup muka sebagai merimaskan dan menjadikan solekan mereka tidak sekata, terdapat satu lagi golongan yang ‘berterima kasih’ kepada peraturan tersebut.
Pelitup muka membuatkan mereka tidak perlu risau lagi mengenai penampilan diri dan menjimatkan penggunaan alat solek kerana tiada sesiapa akan melihat wajah sebenar di sebalik kain yang menutupi sebahagian wajah itu.
Namun, pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada minggu lalu mengenai pemakaian pelitup muka yang kini tidak lagi diwajibkan di tempat tertutup disambut dengan reaksi bercampur-baur dalam kalangan orang ramai.
Ada yang terus sahaja enggan ‘menyentuh’ pelitup muka, bahkan ramai juga yang masih memakainya walau di mana-mana kerana sudah terbiasa dan masih bimbang dengan penularan virus Covid-19.
Salah seorang rakan sekerja berbisik kepada penulis pada hari pengumuman dibuat bahawa selepas ini, kita sudah boleh kembali memakai gincu!
Maksud kepada kata-kata tersebut adalah disebabkan rakyat sudah boleh menanggalkan pelitup muka, kaum wanita sudah boleh kembali memakai mekap dan bergaya seperti waktu sebelum tercetusnya wabak Covid-19.
Tidak dinafikan kenyataan tersebut ada benarnya, namun apa yang lebih utama adalah perasaan bimbang terhadap jangkitan virus tersebut yang masih ada di sekeliling kita kerana ia turut boleh merebak kepada keluarga tersayang.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan pembukaannya pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia baru-baru ini mengingatkan seluruh negara bahawa wabak Covid-19 masih belum berakhir.
Menurut beliau, meskipun di kebanyakan negara, semua sekatan Covid-19 telah dilonggarkan dan kehidupan manusia kembali seperti keadaan sebelum pandemik, kes-kes yang dilaporkan di sebahagian besar benua masih tinggi.
“Jadi, adakah Covid-19 telah berakhir? Tidak, kebanyakannya masih belum,” tegasnya.
Berdasarkan laman web pemantau wabak, Worldometers, info kes Covid-19 dan kematian akibat wabak itu di seluruh dunia mencatatkan kadar terendah sejak Jun lalu dengan penurunan 21 peratus bagi jangkitan mingguan, menjadikan sebanyak 475,000 kes direkodkan sehari setakat 11 September lalu.
Trend penurunan itu menjadikan Malaysia tidak terkecuali untuk melonggarkan sekatan Covid-19 agar rakyatnya dapat kembali menjalani kehidupan normal meskipun kes jangkitan masih ada.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, keputusan untuk memakai pelitup muka kini terpulang kepada individu, namun adalah lebih baik untuk terus dipakai sekiranya mereka berada di tempat-tempat sesak.
“Nasihat saya, orang ramai perlu menilai keadaan semasa. Sekiranya berada di tempat terbuka dan ruang luas serta tidak bergejala, mereka bebas untuk tidak memakai pelitup muka.
“Namun, jika berada di tempat sempit dengan ruang pengudaraan yang tidak baik serta terdapat individu bergejala yang hampir dengan mereka, seeloknya, pakailah pelitup muka,” ujarnya.
Ditanya mengenai kemungkinan sekiranya kes Covid-19 kembali meningkat disebabkan pelonggaran peraturan tersebut, Zainal Ariffin berkata, Covid-19 kini telah menjadi seperti wabak selesema biasa.
“Kes Covid-19 akan tetap berlaku kerana telah menjadi seperti demam selesema biasa, namun risiko dan mudarat wabak itu dapat dikurangkan menerusi vaksinasi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE