fbpx

Mahkamah: Narendrakumar didakwa pecah amanah RM2.38 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakan Kongsi Pengurusan Negara, Grant Thornton Malaysia, Datuk C.R Narendrakumar mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lapan pertuduhan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2.38 juta milik sebuah syarikat pengurusan pelaburan, tiga tahun lalu.

Di hadapan Hakim Bakri Abd. Majid, Narendrakumar, 72, didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah wang deposit milik Syarikat Pelangi Prestasi Sdn. Bhd. berjumlah RM1.47 juta.

Tertuduh yang ketika itu merupakan Pengurus dan Penerima di Syarikat Sabah Forest Industries Sdn. Bhd., didakwa pecah amanah wang deposit tersebut pada tarikh-tarikh berbeza.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 6 November 2019 dan 18 September 2020 di CIMB Bank Berhad, Bangunan Commerce Life, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman pula, Narendrakumar turut didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah wang deposit milik Pelangi Prestasi berjumlah RM909,132.50.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di antara 18 Februari 2020 dan 12 Mei 2020 di tempat yang sama.

Bagi semua pertuduhan, Narendrakumar didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Narendrakumar diikat jamin berjumlah RM110,00 dengan seorang penjamin bagi kelapan-lapan pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan.

Bakri membenarkan Narendrakumar diikat jamin berjumlah RM60,000 manakala Sabariah mengarahkan tertuduh diikat jamin RM50,000.

Ketika prosiding di hadapan Bakri, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zulaaikha Mohd. Apandi tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Ujar Zulaaikha, namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin beliau memohon jaminan RM200,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Di hadapan Sabariah, TPR Lim Chooi Yi tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam A.G Kalidas yang mewakili Narendrakumar memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jaminan rendah.

Ujar peguam bela, anak guamnya yang merupakan pengasas bersama serta pengarah urusan Grant Thornton iaitu syarikat audit serta perunding guaman yang mempunyai beribu-ribu pekerja.

“Anak guam saya juga mengalami masalah kesihatan iaitu jantung dan sakit belakang selain tidak akan melarikan diri,” kata peguam itu.

Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan pada 14 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI