fbpx

Liga Super: TFC lepas geram belasah Penang 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal Halim meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama untuk TFC sewaktu bertemu Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) menebus kehampaan gagal menjulang Piala FA pada hujung minggu lalu dengan membelasah Penang FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kemenangan kelima skuad Sang Penyu berturut-turut dalam Liga Super itu menyaksikan perebutan slot ke Piala AFC 2023 kini semakin sengit.

TFC berada di tangga keempat liga dengan mengutip 32 mata, tiga mata di belakang Negeri Sembilan manakala Sabah pula di tempat kedua dengan 36 mata.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan melalui percubaan Manuel Ott yang mengenai jaring tepi pada minit ketujuh disusuli gerakan Kipre Tchetche dua minit kemudian.

Keghairahan TFC menyerang hampir dihukum pelawat namun mujur tandukan T. Saravanan hasil hantaran Muhd. Faizat Ghazli sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gawang pada minit ke-22.

Kem tuan rumah akhirnya ceria pada minit ke-37 setelah Faisal Abdul Halim menyudahkan gerakan satu dua bersama Petrus Shitembi untuk gol pembukaan dari dalam kotak penalti.

TFC menggandakan jaringan ketika aksi memasuki masa tambahan menerusi Tchetche yang menanduk kemas bola hantaran Shitembi sekali gus membawa kedudukan 2-0 ke bilik persalinan.

Tchetche memastikan kemenangan selesa TFC di hujung permainan selepas melakukan voli berpunca hantaran Shitembi untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-90. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI