fbpx

Liga Super: KDA FC tewaskan Selangor FC 3-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC meraikan jaringan gol pertama oleh Ronald Ngah Wanja dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. /FOTO SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangan buat kali ketiga berturut-turut apabila menundukkan pasukan Gergasi Merah, Selangor FC 3-1 di laman sendiri, sebentar tadi.

Perlawanan bermula rancak dengan Selangor FC memiliki peluang untuk menjaringkan gol seawal minit ke-2.

Kapten mereka, Brendan Gan bagaimanapun gagal mengawal bola dengan kemas meskipun cuma berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol tuan rumah, Shahril Saari menyebabkan bola meleret keluar dari kawasan permainan.

Pada minit ke-18, giliran kapten KDA FC, Mohd. Syazwan Zainon pula gagal membuka jaringan buat Sang Kenari apabila rembatannya dari dalam kotak penalti, terbias kepada salah seorang pemain lawan sekali gus menyebabkan bola melepasi palang.

Stadium Darul Aman bagaimanapun bergegar dengan sorakan empat minit kemudian apabila tonggak penyerang KDA FC, Ronald Ngah Wanja menghasilkan gol pertama perlawanan.

Gol itu terhasil apabila sepakan percuma diambil pemain sayap mereka, Mahmoud Al-Mardi tepat sampai kepada Ronald betul-betul di depan gawang.

Ia sekali gus memudahkan penyerang bertubuh sasa itu membuat tolakan menewaskan penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville.

Kegembiraan penyokong tuan rumah berterusan apabila pertahanan import dari Andorra, Marc Vales menghasilkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-30.

Pujian penyokong terhadapnya bagaimanapun bertukar menjadi kemarahan seminit kemudian apabila dia gagal merantai pemain lawan, Hein Htet Aung.

Ia seterusnya membolehkan bintang muda Myanmar itu membuat hantaran lintang kepada Herlison Caion sebelum disudahkan dengan rembatan leret untuk kedudukan berubah menjadi 2-1.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus berbalas serangan namun rembatan padu pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal dari luar kotak penalti pada minit ke-59, paling mencuri tumpuan apabila bola singgah tepat ke tiang sebelah kiri gawang tuan rumah.

Bola itu kemudian melantun kepada pemain sayap skuad muda kebangsaan, Quentin Cheng namun pemain tinggi lampai itu merembat tinggi melepasi palang gol, meskipun tiada sesiapa yang mengawalnya.

Peluang buat KDA FC menambah jaringan hadir pada minit ke-72 menerusi Mahmoud tetapi sepakan pemain itu meliar ke kiri gawang, ketika dia sudah pun berjaya mengelecek pemain pertahanan pasukan pelawat, Sharul Nazeem Zulpakar di dalam kotak penalti.

Usaha Mahmoud tidak terhenti di situ apabila pada Mlminit ke-85, pemain dari Jordan itu membawa bola dari sebelah kiri padang dan mengelecek pemain pertahanan Selangor FC sebelum melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti.

Rembatannya itu bagaimanapun dapat ditepis Somerville sebelum bola mengenai palang dan keluar.

Pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkifli memuktamadkan keputusan 3-1 memihak KDA FC apabila dia melakukan rembatan leret cantik menewaskan Somerville, sebaik menerima hantaran cantik dari Mahmoud pada masa tambahan permainan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI