LONDON – Seorang peminat tegar monarki Britain nyaris menjadi sasaran penembak tepat apabila melakukan aksi berani mati dengan melompat di hadapan kereta Rolls Royce dinaiki oleh Raja Charles III, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Episod cemas itu disiarkan oleh stesen penyiaran Sky News dekat persimpangan Savoy Circus, London.
Raja Charles III sedang dalam perjalanan dari Dewan Westminster ke Pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Northholt apabila konvoinya ‘diserang hendap’ oleh seorang lelaki yang membawa sebuah kamera.
Lelaki memakai baju-T putih dan berseluar biru itu mengejar konvoi kereta baginda sejauh 100 meter sebelum meluru ke jalan raya serta menyeberangi dua lorong lalu lintas untuk merakam gambar Raja Charles III.
Pengawal perlindungan diraja yang mengikuti rapat di belakang kenderaan rasmi Raja Charles III, meluru dari kenderaan mereka untuk memintas lelaki itu dan mengarahkannya menjauhi kereta Rolls Royce tersebut.
Tindakan peminat tegar itu dicop sebagai ‘gila’ oleh bekas anggota elit, Perkhidmatan Udara Khas (SAS) Britain.
Menurut sarjan bersara SAS, Phil Champion, tindakan sembrono itu tidak wajar dilakukan kerana perkhidmatan keselamatan menempatkan penembak tepat di atas bumbung-bumbung bangunan di London dengan 1,500 askar dan 10,000 anggota polis dikerahkan di seluruh ibu negara Britain itu.
“Lelaki ini sangat bernasib baik kerana tidak ditembak di kepala oleh penembak tepat yang berada di atas bumbung-bumbung bangunan di sekitar laluan itu.
“Dalam situasi seperti ini, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk mengenal pasti sama ada individu tersebut merupakan ancaman kepada baginda atau sebaliknya. Penembak tepat akan mengambil tindakan lebih pantas dengan melepaskan tembakan,” kata Champion.
Perjalanan Raja Charles III ke RAF Northholt diteruskan selepas gangguan itu. Baginda berlepas ke Edinburgh dan bertemu rakyat jelata yang berhimpun di untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang Ratu Elizabeth II. – Agensi