PETALING JAYA – Kontinjen PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus mendominasi kejohanan Sukan Kerja Raya apabila muncul juara keseluruhan temasya sukan industri lebuh raya buat kali ke-13 berturut-turut.
Kejohanan yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 7 September sehingga 11 September lalu telah disertai lebih 1,600 atlet.
Presiden Kelab PLUS Malaysia merangkap Chef-de-Mission, Mohd. Yusuf Abd Aziz berkata, Kontinjen PLUS yang dibarisi oleh 160 atlet berjaya membawa pulang empat pingat emas, tujuh perak dan satu gangsa.
Jelasnya, ia merupakan pencapaian yang lebih baik berbanding temasya yang sama pada tahun 2018 yang berlangsung di Ipoh.
“Kami hanya mempunyai tempoh kira-kira satu bulan untuk membuat persediaan bagi
kejohanan kali ini dan perlu membuat perancangan yang teliti untuk menghimpun warga PLUS yang bertugas di utara, selatan, tengah termasuklah pantai timur.
“Kami bersyukur kerana semua atlet menunjukkan komitmen dan semangat yang cukup tinggi. Pengurusan PLUS juga memberikan sokongan padu kepada kontinjen ini sepanjang tempoh latihan
dan kejohanan berlangsung” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Yusuf berkata, empat pingat emas disumbangkan menerusi acara bola jaring, karom, tenpin boling (lelaki) dan boling padang.
Manakala, tujuh pingat perak menerusi acara sepak takraw, futsal Wanita, catur, tenpin boling (wanita), ‘mountain bike’, ping pong dan dart serta satu pingat gangsa menerusi acara bola tampar.
Tambah beliau, untuk rekod Kontinjen PLUS yang dikenali dengan gelaran ‘Highway Star’ menggungguli Sukan Kerja Raya sejak kejohanan sukan ini mula diperkenalkan pada tahun 1999.
Terdahulu, Sukan Kerja Raya yang disertai 26 kontinjen daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, syarikat penyelenggaraan jalan raya telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. – KOSMO! ONLINE