LOS ANGELES, California – Api besar marak di luar kawalan di Oregon kelmarin yang memaksa penduduk melarikan diri dan mengancam beribu-ribu kediaman dalam kebakaran dahsyat terbaharu di Barat Amerika Syarikat (AS) semasa musim panas.
Berpuluh-puluh kebakaran hutan di California, Idaho, Oregon, Washington dan beberapa negeri Barat AS lain telah memusnahkan kawasan seluas lebih 3,100 kilometer persegi, menyebabkan kualiti udara semakin buruk dan menjadi bukti kesan buruk kemarau selama lebih dua dekad yang melanda rantau itu.
Api dinamakan Kebakaran Cedar Creek di bandar Eugene, Oregon mencatat pertumbuhan ‘ekstrem’ sejak hujung minggu lalu dan kini memusnahkan 86,734 hektar kawasan atau dua kali ganda keluasan ibu kota AS, Washington, demikian menurut Kumpulan Penyelarasan Kebakaran Hutan Nasional (NWCG).
Lebih 1,200 anggota bomba dan kakitangan lain dikerah di kawasan lereng-lereng gunung untuk memadamkan api.
“Mereka membina garisan kebakaran di sepanjang jalan dan laluan trek di mana mereka mempunyai peluang lebih baik untuk memadamkan api,” kata NWCG.
Pemindahan diarahkan untuk daerah Lane dan Deschutes , manakala hutan taman negara Deschutes dan Willamette ditutup. Lebih 2,000 kediaman kini terancam, kata pihak berkuasa.
“Saya berpindah keluar seberapa cepat yang boleh,” kata Herman Schimmel yang keluar dari bandar Westfir baru-baru ini. Beberapa bandar seperti Westfir dan Bend yang terletak di timur kebakaran itu diselubungi asap tebal, menyebabkan kualiti udara merosot dengan teruk.
Media tempatan melaporkan bahawa cuaca lebih sejuk dan cerah telah menjadikan situasi lebih baik kelmarin dengan pihak berkuasa melonggarkan arahan berpindah di beberapa kawasan.
Kawasan Barat AS dilanda kemarau selama lebih dua dekad dengan saintis-saintis menyatakan, bencana itu menjadi lebih buruk disebabkan fenomena perubahan iklim akibat tangan manusia. – AFP