SELEPAS Lee Moo-saeng, seorang lagi aktor terkenal, Park Hae-jin terkait dengan satu kes membabitkan pelakon lelaki ditahan polis gara-gara menggunakan bahan terlarang.
Nama Hae-jin mula menjadi bualan selepas beberapa maklumat didedahkan pihak polis mencetuskan tanda tanya netizen yang kemudian mengaitkannya dengan kes tersebut.
Tidak berdiam diri, agensi Hae-jin, Artist Company tampil membersihkan nama dan imej pelakon itu daripada dicemari dengan tuduhan palsu tersebut.
“Kami sudah mengesahkan bahawa kebelakangan ini tersebarnya dakwaan tidak berasas tentang Park Hae-jin yang dikatakan ada kaitan dengan kes pelakon lelaki ditahan polis.
“Semua ini ternyata tuduhan palsu yang berat. Park Hae-jin langsung tiada kena mengena dengan kes ini. Jika dakwaan ini masih berlegar, kami akan mengambil tindakan undang-undang kepada yang terlibat,” tegasnya.
Berita penangkapan aktor berusia lingkungan 40-di kawasan perumahannya di Gangnam, Seoul terus menjadi tanda-tanya ramai kerana sehingga ini identiti pelakon itu belum diketahui.
Biarpun begitu, ada netizen yang bertindak berani memetik beberapa nama pelakon lain berdasarkan maklumat asas yang didedahkan polis.