IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang mengenal pasti lokasi sesuai di sepanjang laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands untuk dijadikan ‘landing point’ atau titik pendaratan helikopter.
Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, langkah itu bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana terutama runtuhan tanah atau kemalangan besar terutama ketika menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, kajian berkaitan lokasi-lokasi sesuai itu dijangka siap hujung bulan ini.
“Titik pendaratan yang dikenal pasti itu nanti akan memudahkan Unit Udara dalam membantu tugas menyelamat di mana apabila berlaku satu-satu insiden, kita akan cepat sampai (ke lokasi).
“Sekarang, kita sedang kenal pasti beberapa lokasi sesuai di sepanjang laluan itu (Simpang Pulai-Cameron Highlands). Kita kena buat kajian dahulu bagi melihat kesesuaiannya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti lokasi tambahan untuk dijadikan titik pendaratan helikopter di sepanjang laluan Gerik-Jeli, Kelantan bagi tujuan sama.
Katanya, ketika ini hanya terdapat empat ke lima titik pendaratan helikopter di sepanjang laluan tersebut.
“Operasi untuk mengenal pasti titik pendaratan baharu ini akan mengambil kira beberapa faktor termasuk keluasan yang sesuai serta permukaan bumi,” katanya. – KOSMO! ONLINE