SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) masih menumpukan kepada aspek memastikan kesiapsiagaan jentera parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan belum menyentuh mengenai isu calon dan kerusi ditandingi.
Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, selepas selesai bertemu dengan jentera BN di semua negeri termasuk di Sabah baru-baru ini, persoalan mengenai siapakah calon masih belum dilihat oleh parti itu.
“Saya setakat ini melihat kesiapsiagaan parti, belum menyentuh mengenai calon, isu kerusi, saya melihat kesiapsiagaan UMNO dan BN.
“Belum lagi lihat soal itu, (calon, kerusi) sebab mahu lihat keboleh menang, sebab itu, kesiapsagaan itu faktor utama menang kalah untuk hadapi pilihan raya.
“Tidak guna kita cakap soal calon, seperti saya katakan, bawa profesor dari langit sekali pun, kalau jentera tiada, tidak guna juga, kesiapsiagaan jentera amat penting,” katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Seremban berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Merdeka@Komuniti DUN Paroi 2022 di Dataran Senawang di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, jentera BN kini bersemangat tinggi untuk menghadapi PRU15 namun mengakui beberapa aspek perlu ditambah baik.
“Memasuki pilihan raya ini umpama memasuki peperangan, pengakhir ceritanya adalah kalah dan menang. Perlu bersiap sedia betul-betul dan pastikan segala gerak kerja diuruskan dengan terbaik,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE