WASHINGTON – Seorang banduan di Oklahoma, Amerika Syarikat yang mendakwa bahawa kakitangan penjara menyeksa tahanan dengan memaksa mereka berada dalam posisi tertekan dan memasang lagu kanak-kanak popular, Baby Shark selama berjam-jam, ditemui mati dalam sel penjaranya, lapor saluran berita NBC News semalam.
Seorang pengawal penjara yang melakukan pemeriksaan di penjara itu mendapati John Basco, 45, tidak bertindak balas sekitar pukul 3.50 pagi (waktu tempatan) Ahad lalu, kata pegawai Pusat Tahanan Daerah Oklahoma dalam satu kenyataan.
Kakitangan perubatan dipanggil dan melakukan usaha menyelamatkan Basco tetapi dia disahkan meninggal dunia sejurus selepas pukul 4 pagi (waktu tempatan). Keluarganya dimaklumkan mengenai kematian mangsa, kata kenyataan itu.
Punca kematian tidak didedahkan dan pegawai pusat tahanan tidak segera membalas permintaan untuk mengulas insiden itu.
Basco ialah seorang daripada empat banduan yang memfailkan tuntutan undang-undang hak sivil persekutuan tahun lalu. Mereka mendakwa pegawai penjara menggunakan kekerasan dan taktik disiplin berlebihan yang disifatkan sebagai ‘peristiwa penyiksaan’.
Defendan kes itu adalah Syerif Daerah Oklahoma, Tommie Johnson III, Lembaga Pesuruhjaya Daerah dan dua bekas pegawai penjara.
Menurut perbicaraan mahkamah, Basco dan banduan bernama Daniel Hedrick terpaksa berdiri dalam keadaan tertekan semasa mendengar lagu kanak-kanak yang popular pada 2019 itu pada waktu berbeza sekitar akhir tahun 2019.
Seorang lagi banduan, Joseph Mitchell ditarik dari selnya pada November 2019 dan diletakkan di dalam sebuah bilik di mana dia dipaksa berada dalam ‘kedudukan tekanan berdiri’ selama tiga hingga empat jam, manakala tangannya digari ke belakang, demikian menurut dokumen mahkamah.
Pengawal penjara kemudian memainkan lagu Baby Shark berulang kali dengan kuat sehingga bergema.
Menurut fail mahkamah, banduan Ja’Lee Foreman Jr. tidak dipaksa untuk mendengar lagu itu, tetapi dia diletakkan dalam keadaan tertekan dan kemudiannya dipaksa berlutut dan dihempas ke dinding oleh seorang pegawai sebelum diludah oleh pengawai lain.
Peguam Daerah Oklahoma, David Prater mendakwa dua bekas pekerja penjara itu dan penyelia mereka dengan salah laku kekejaman pada Oktober 2020.
Seorang peguam yang mewakili Basco, Cameron Spradling dalam hantaran di Twitter berkata, kematian anak guamnya adalah ‘misteri’ dan menyatakan bahawa Basco adalah banduan ke-14 yang mati di penjara itu tahun ini. – AGENSI