fbpx

Tunggu Dulu Cinta drama terakhir Sarah Hildebrand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA terakhir pelakon Sarah Hildebrand berjudul Tunggu Dulu Cinta.

PETALING JAYA – Peminat bekas pelakon cantik, Sarah Hildebrand yang mengumumkan sudah bersara daripada industri seni hiburan tanah air berpeluang menyaksikan lakonan terakhirnya menerusi drama Tunggu Dulu Cinta yang akan mula ditayangkan esok di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Drama adaptasi novel arahan Zamri Zakaria itu bakal mengisi slot Widuri yang akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 6 petang di TV1.

Menerusi drama tersebut, Sarah, 32, yang memegang watak utama sebagai Aivy bakal bergandingan dengan pelakon Hafreez Adam sebagai Kamal.

Tunggu Dulu Cinta mengisahkan tentang kehidupan Aivy dan Kamal yang dengan rela hati berkahwin walaupun mereka tidak menjalinkan hubungan cinta.

Kedua-duanya bagaimanapun berjanji untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih rapat selepas bernikah dan menjalani kehidupan bahagian seperti pasangan suami isteri lain.

Namun, Kamal tiba-tiba tidak dapat menunaikan janjinya kepada Aivy kerana hatinya masih belum mampu melupakan kisah cinta lama bersama kekasihnya.

Sementara itu, Aivy pula dalam diam sudah jatuh cinta terhadap Kamal dan mula menyayangi suaminya itu tanda disedari oleh lelaki tersebut.

Konflik timbul selepas Aivy yang ketika itu sedang mengandungkan anak hasil perkahwinannya bersama Kamal telah dihalau keluar dari rumah selepas terjebak dengan agenda jahat oleh abang tirinya sendiri.

Campur tangan dari ahli keluarga Kamal yang tidak menyebelahi dirinya menyebabkan Aivy mengambil keputusan untuk membawa diri ke kampung. Lalu apakah kesudahannya?

Selain Sarah dan Hafreez, Tunggu Dulu Cinta Turut menampilkan lakonan Hazman Al Idrus, Izzy Reef, Wan Aqim, Fifi Laura Olivia, Kay Maria, Hannah Halim, Nasz Sally, Shasha Edora, Syafiq Aiman, Aryan Naim, Badrul Muhayat, Azman Jantan, dan Amar Asyraf.

Terdahulu, Sarah yang juga seorang pengacara membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya dari industri seni hiburan tempatan menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Ujar Sarah, dia berharap pengumuman tersebut dapat ditularkan supaya ramai pihak tahu bahawa dirinya sudah pun bersara dari industri seni hiburan tempatan.

Selepas bersara, Sarah kemudiannya nekad meninggalkan Malaysia dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS). Difahamkan Sarah kini sudah menyertai unit Tentera Udara AS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI